Jom Ikut !!

Friday, May 17, 2013

Menghalang Insan Daripada Rahmat ALLAH Azza Wajalla


Pada zaman Rasulullah, Islam datang dan membebaskan insan daripada kejahilan, taqlid buta dan ta'assub nenek moyang juga ta'assub perkauman.

Asalnya Islam datang untuk membebaskan insan daripada api neraka dan menarik mereka ke syurga ALLAH. Islam datang menyelamatkan.
Islam : selamat, sejahtera.

Namun hari ini melihat para pendakwah Muslim (baca : penyeru) sesuka hati menolak insan agar jatuh ke neraka, walaupun mereka bukan nabi, bukan juga rasul bahkan memang bukan tugas mereka untuk menentukan pengakhiran seseorang itu melainkan tugas ALLAH azza wajalla jua.

Mereka mengkafirkan, mencerca dan menghina insan kerana perbezaan aqidah. Sedang pada zaman Nabi, tiadalah Nabi berdakwah dengan cerca mencerca. Bahkan Nabi melarang seseorang mencerca sembahan temannya yang berlainan agama. Firman ALLAH : 'Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan.'  (Al-An’am : 108)

Juga berlaku sesat menyesat dan kafir mengkafir hanya kerana perbezaan pendapat dalam masalah furu'. Alangkah mudahnya kita menghalang manusia daripada rahmat ALLAH azza wajalla dan menafikan manusia daripada syurga ALLAH Taala?

Hari ini, mereka meminggirkan insan hanya kerana dilahirkan dalam bangsa berbeza. Sedang Nabi menyatukan ummah tanpa mengira bangsa. Bahkan firman ALLAH : 'Sesungguhnya yang paling mulia di sisi ALLAH adalah yang paling bertaqwa'. (Al-Hujuraat : 13)

Muslim hari ini perlu tahu apa maksud Islam.
Menyeru manusia kepada keselamatan dan keamanan.
Bukan menolak manusia ke lubang kehancuran.

Rahmat ALLAH itu luas, jangan menghalang insan daripada rahmat ALLAH !!