Jom Ikut !!

Monday, December 24, 2012

Bukan Ini Tujuan Wahyu dan Sabda


Hari ini manusia sibuk mengkritik dan menjatuhkan orang. Sesat menyesat, kafir mengkafir, kutuk mengutuk begitu berleluasa hari ini. Al-Quran dan Hadis dijadikan hujjah sewenang-wenangnya dan digunakan untuk membantai pihak lawan habis-habisan. Mereka yang tidak se'parti', tidak se'fikrah' habis dibantai dan dikutuk di ceramah-ceramah dan laman sesawang.

Juga ada segolongan yang (moga ALLAH memberi petunjuk kepada mereka) mencerca para cendekiawan Islam hanya kerana berbeza pendapat dengan mereka. Dituduhnya khawarij, sesat dan pelbagai tohmahan dilemparkan dengan berdalilkan Al-Quran dan sabda junjungan (namun ada juga tuduhan yang dibuat tanpa dalil). Hidup mereka hanya untuk parti dan jemaah mereka. Wahyu dan Sunnah digunakan untuk menentang pihak lawan.

Namun sayang sekali mereka lupa menilai diri mereka. Mereka mencerca lawan habis-habisan namun diri mereka dilupakan.

Jauh di sudut hati, saya melihat mereka-mereka ini. Juga saya merenung diri saya. Ya, saya hanya insan biasa. Tiada yang istimewa. Ilmu masih di takat darjah dua, bahkan mungkin tadika. Namun saya juga cintakan Al-Quran dan sabda junjungan. Dan dengan kadar pemikiran akal saya, saya begitu yakin bukan ini tujuan Al-Quran diturunkan. Saya pernah mendengar dan membaca suatu ayat dan saya yakin mereka yang membaca juga pernah mendengar bahkan mungkin lebih memahami ayat ini :-


     إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertaqwalah kepada ALLAH mudah-mudahan kamu mendapat rahmat.
(Al-Hujuraat : 10)

No comments: